Sunday, January 22, 2012

Catatan masa lalu

In the name of Allah, Most gracious, Most Merciful


21/01/2012
Alhamdulillah. Hari ini permulaan yang baik. Syukur. Walaupun masih lagi berkelana seorang diri di tengah Kuala Lumpur ini, aku amat bersyukur. Sangat. Bukanlah kiranya aku suka bersorangan tetapi inilah masa terbaik untuk aku muhasabah diri. Mengenal betapa lemahnya seorang manusia yang tidak punya apa-apa. Bila mana tiada sesiapa yang boleh digantung harap dan aku hanya memberikan sepenuh pengharapan hanya kepada-Nya dalam setiap langkah mengukur jalan di sini. Aku belajar untuk jadi kuat dan menerima apa sahaja keadaan. Moga-moga apa yang aku peroleh ini mampu untuk buat bekalan ketika latihan praktikal nanti. Sungguh, aku memerlukan kekuatan yang jitu dan semangat yang tinggi untuk menjalani latihan praktikal ini. Ya, mungkin ini hikmahnya aku bersendirian di sini.
Semalam, aku berseorangan menjelajah KL Central. Walau hanya sekadar KL central, banyak ragam yang aku perhatikan. Sedang aku menikmati makan tengah hari, aku lihat sepasang kekasih yang duduk di sudut food court. Rancak bercerita. Si lelaki meletakkan tangannya di sekeliling kerusi yang disandar oleh si perempuan. Aku fikir, masih tidak bersentuhan tetapi sudah sangant rapat. Gurau senda gelak tawa berterusan. Kemudian, aku lihat si lelaki itu menggeletek pinggang si perempuan. Si perempuan pula seperti rela sahaja. Oh, aku tidakkan ambil kisah kedua-duanya jika pasangan tersebut tidak mempamerkan imej seorang Islam tetapi telah nyata dan terang si perempuan memakai tudung.
Entahlah. Anak Adam senang terpesong. Lebih-lebih lagi umat akhir zaman. Senang tergoda dengan keseronokan dunia. Aku bukanlah seorang Maryam yang selayaknya berbicara hal keagamaan mereka kerana aku juga selalu terpesong dari fitrah manusia Islam. Tetapi, aku tetap sedih memikirkan betapa lemahnya iman kita. Bagaimana mahu kita bentuk peribadi anak-anak kita, cucu-cucu kita andai kita sendiri hanyut? Moga-moga Allah ampuni kita dan sinari hati kita dengan nur-Nya. Dan moga beroleh syurga di akhir perjalanan mencari Dia. Ameen.

No comments:

Post a Comment