Thursday, February 23, 2012

Yang lemah

In the name of Allah, Most Gracious, Most Merciful

Tadi, aku baru menjenguk page facebook `Ex-Muslim` dan seangkatan lagi. Aku baca satu persatu. Pada setiap persoalan dan penyataan yang keluar, ada rasa bertingkah dalam hati. Sakit hati, geram dan kecewa. Tapi, aku hanya mampu membaca. Aku tidak mampu membalas kata-kata berbaur penghinaan mereka. Aku tidak menegakkan agama aku! Mana aku ketika itu? Mana Islam yang aku bawa sepanjang hidup ini? Mana pegangan aku? Mana kekuatan iman aku? Mana ilmu aku?

Akhirnya, aku kesini mempersoalkan kredibiliti aku sebagai seorang muslim. Dalam aku kecewa dengan mereka, aku lebih kecewa dengan diri sendiri. Mereka berani mempersoalkan itu dan ini. Tapi dalam beratus ribu umat Islam di Malaysia, hanya satu dua orang yang berani membidas. Aku hanya bersembunyi di ruang gelap.

Aku Islam yang lemah iman, lemah daya tahan jiwa. Aku Islam yang tidak berani menegakkan agamanya sendiri.  

 

Sunday, February 19, 2012

Mungkin kamu tidak menyukai sesuatu

In the name of Allah, Most Gracious, Most Merciful

`Mungkin kamu tidak menyukai sesuatu padahal itulah yang lebih baik bagi kamu`

Itu yang aku kira-kirakan setelah aku menamatkan latihan praktikal dua hari yang lalu. Sekejap sajakan, masa berlalu. Aku masih ingat lagi, betapa runtunnya perasaan setiap kali memikirkan terpaksa menjalani praktikal ini. Betapa rusuhnya fikiran. Aku ingat lagi, hari pertama aku tercengang-cengang sambil berdiri di sudut kedai memerhati. Kemudian, aku pulang ke rumah dengan jiwa yang kacau. Masa itu, aku ingin cepatkan saja waktu.

Aku mula bertatih. Sedikit demi sedikit aku mula mencari rentak. Bekerja dengan bukan serumpun agak sukar bagiku. Dimarahi dan tidak senangi itu, perkara biasa pada mulanya. Aku mencuba keraskan hati. Mungkin, aku banyak bertanya itu dan ini sehingga menjengkelkan mereka. Aku faham, dan aku terima. Tapi, aku bersyukur dalam keadaan itu. Aku jadi cepat belajar, berdikari sendiri. 

Seminggu, dua minggu berlalu. Alhamdulillah, Allah SWT perkenan doaku. Dia permudahkan urusanku. Aku semakin biasa berdiri dan berjalan sana sini dari pukul 8 pagi hingga pukul 5 petang. Aku semakin biasa dengan situasi tegang, pada saat pelanggan memenuhi ruang kedai. Dan, rakan sekerjaku sudah mula menerima kehadiranku.

Aku belajar erti kehidupan di sini. Mentafsir riak wajah manusia bila aku nyatakan harga ubat-ubatan yang mereka inginkan. Ada yang menerima, ada yang berubah pilu. Hati aku sedikit pedih. Aku tahu, bukan semua yang berkemampuan. Pada saat seorang tua dan anak gadis dia aku layani, aku ternampak riak sedih si ayah bila aku nyatakan harga. Tetapi, dia tetap membeli ubat-ubatan itu demi anaknya. Berhari-hari aku memikirkannya.Sehingga hari ini aku takkan pernah lupakan riak si ayah. Aku tahu, itu pesanan dari Tuhan ku. Pada saat aku bersungut betapa penatnya aku menjalani latihan praktikal ini, ada insan lain yang lebih penat dan lelah demi mencari sesuap nasi. Ya, aku tahu itu.

Aku juga belajar tentang kerenah manusia. Ada ketika aku ketawa mengenangkannya. Kisah seorang pelanggan yang ingin membeli ubat untuk ayam dia yang selesema. Mulanya, aku kurang yakin dengan apa yang aku dengar. Mungkin dia ingin nyatakan, bahawa, dia terkena chicken pox. Berkali-kali aku bertanya kembali. Rupanya, dia memang ingin membeli ubat untuk ayamnya yang selesema. Kami benar-benar kehairahan, tentang pemahamannya dengan ayam peliharaannya itu :) Sampai hari ini aku pasti tersenyum bila mengenangkannya. 

Aku semakin rapat dengan rakan sekerjaku. Biarpun berlainan bangsa, kami saling menghormati. Aku tahu, aku perlu membuang skeptikal ku sebelum ini bahawa bangsa ini sangat racist. Mungkin segelintir sahaja, tetapi tidak semua. Ya, dengan mereka aku belajar satu lagi bab baru dalam hidupku. Mereka menjadi sebahagian dari cerita penting yang tidak mungkin aku lupakan sampai bila-bila.

Permulaan yang pahit tidak semestinya berakhir dengan pahit juga. Kadang-kadang lebih manis ldari gula.Mungkin kamu tidak menyukai sesuatu , padahal ia lebih baik bagi kamu .Ya, aku mula memahami sepotong ayat Al-Quran ini dan semuanya benar belaka. :)