Sunday, December 30, 2012

Matahari

Assalamualaikum..

Aku ingat lagi 
Kau yang bernama angka
Tanpa wajah tanpa suara

Dan aku ingat lagi
setiap kata setiap ruang yang ada
Aku jadi gila

Suatu saat
Kau tiada tanpa cerita
Aku penasaran,

Aku berlari dan mencari,
Hampa,
Kecewa,

Seolah aku sedang bermimpi
benarkah yang terjadi
kau ada kemudian tiada

walau sezarah
tiada bayang tiada apa
Mungkin benar cuma mimpi

Tapi,
Aku tahu,
Aku rindu.

Friday, December 28, 2012

Flat Cinta

Assalamualaikum

Cheesy much?
Tapi, itu lah hakikatnya
Flat tempat hidup aku
Makan, tidur, bermain, berjaga

Aku boleh dengar jelas
Suara TV
jerit tangis anak-anak
bual mesra suami isteri
dari rumah jiran sebelah

Sini jadi saksi
tiap keringat yang mengalir
tiap tawa yang berbunga
tiap bicara yang berirama

Flat ini flat hidup
yang menyaksikan hidup sekalian manusia


You! Stay focus!

Assalamualaikum.

Sekarang ni aku ada satu misi peribadi. Misi yang memang akan mengubah pandangan aku 180 darjah.
Aku membenarkan beberapa individu2 kedalam kepompong misi aku, dengannya, aku mendapat support dan kata2 semangat

Tapi, aku silap.
Entah, baginya cuma gurauan
Tapi sudah cukup aku tandakan sebagai memperlekehkan

Tunggu,
Akan aku buktikan
Misi ini tidak sia2


Thursday, December 27, 2012

singkat tapi bermakna

Assalamualaikum

Mak cik Normah.Dia telah dijemput Allah.Baru mendapat berita
walau perkenalan hanya singkat tetapi jiwa ini rasa dekat
berbual,bercerita bergelak ketawa.nyata darah tiada pengikat untuk menumbuh perasaan ini. tapi kerana kasih pada seorang manusia.

masa mu telah tiba,mak cik.
moga ketemu lagi di syurga

A changing person

Assalamualaikum

There`s a story, a very short one
A man who decided to change at 12th, but he died at 11th. The end.

Can you see?
He did not have the chance to change, he never did. He`s late. He misjudged the time he had in this world

I`m afraid I`m gonna be just like him.
Please remind me O Lord,
For time you spare for me is unknown
Guide me to you
Let me not be like him
Let me have the chance
Let me see you in Husnulghatimah
Amin, Ya Rabb

Wednesday, December 26, 2012

Maaf

Assalamualaikum

Bagaimana harus aku mulakan?
Sepanjang aku menjadi seorang penuntut
Aku menemui penuntut yang lain
Yang punya tingkah dan fikir berbeza
Aku manusia yang sangat biasa, yang banyak cela
Kadang, tidak mampu menampung ketidaksamaan
Kesabaran tunjang persafahaman sangat rapuh
Seringkali aku yang merentap dari tanah yang subur
Namun kerana ego, kerana harga diri, aku pertahankan tindakanku
Hari ini, kekesalan mengetuk hati dari semua arah
Aku lemas, lelah dengan perasaan kesal ini

Kalau aku mampu putarkan semula
Aku akan bertahan dengan penuh sabar
Penuh pengertian
Benar, usia mematangkan jiwa
Pada kamu,kamu dan kamu
Maaf ya!

Ketahuilah,
Apa yang berlaku punya hikmah
menjadikan kamu hari ini dari apa yang telah terjadi
Kita manusia, maka, mengerti lah
Aku juga tidak lepas dari salah
Namun, ikhlas dari hati,
Maaf wahai sahabat

Tuesday, September 11, 2012

Hidup untuk menghidupkan

Assalamualaikum

Aku pinta pada Dia untuk aku tidak cepat melatah. Maka aku diuji dengan ragam manusia ini. Supaya aku belajar mengawal perasaan

Aku meminta pada Dia kekuatan untuk meneruskan kehidupan. Makanya Dia menguji aku dengan bebanan perasaan. Supaya aku belajar meraih kekuatan dalaman.

Mungkin apa yang aku pinta sepertinya tidak kelihatan. Mungkin juga sepertinya bukan sekarang. Tetapi Tuhan itu tetap ada memerhatikan. Kerana Tuhan bekerja secara rahsia. Kita tidak tahu hari ini atau nanti.

sepertinya kisah rama-rama dan kepompong.
Aku minta rama-rama tetapi ulat yang diterima

Ini perjuangan aku. Kembara kehidupan aku.
Mungkin hari ini aku tersepak batu
Tetapi aku melihat itu sebagai medium untuk aku
belajar tentang jalan itu
Mungkin nanti aku akan berhati-hati
setiap kali melalui jalan itu lagi
kerana pengalaman itu pasti
Cikgu terbaik buat diri.

Pada kau yang menjadi batu hari ini, kau telah menjadikan aku jatuh tersungkur

Airmata menjadi saksi
Aku jatuh dan aku bangun lagi
Kau tidak ada erti dalam hidup ini
Perut penuh bukan kau yang isi
Duit belanja bukan kau yang beri
kau dan aku tidak serasi
Aku harap kau mengerti
belajar menghormati
Bukan kau sorang yang great kat sini
belajar memberi
bukan kau sorang yang ramah kt sini

aku tahu kau siapa
walau bermuka-muka
walau lembut bicara
tapi aku kenal kaca permata.


Monday, June 18, 2012

Sebuah pencarian

Assalamualaikum

Saya tahu, hati ini masih lagi sedang mencari isi nuraninya. Jiwa ini masih lagi meraba mecari indahnya falsafah dunia. Walau sudah dipenuhkan ruang minda ini dengan jargon-jargon saintifik, namun hati ini masih mendamba rona kata menyentak rasa. Indah melihat sisi hidup yang lain. Mencari makna di sebalik kata. Ya, walau diri sudah makin meniti usia, inilah jiwa benar saya. Tidak mungkin hilang, mungkin tidak disiram cuma. 

Tiap butir kata menyesak ruang rasa. Mencampakkan diri ke daerah sunyi, mencari jalan pulang sendiri. Tiap yang membaca, punya jiwa yang berbeda. Mungkin bacaannya memeriahkan jiwa, mungkin juga meruntun kata. Pada dia dan dia dan dia yang memberi rasa ini, yang menghidupkan kembali sisi lain ini, terima kasih. Saya tahu, ini sisi lain saya. Buat saya mencari sedikit ruang istirehat disebalik timbunan kertas dan buku. Ya, terima kasih.

Sunday, April 1, 2012

Kasihan pada saya.
penyakit hati semakin merebak
hingga menyesak akal dan liang paru
demam amarah memuncak

kasihan pada saya
semakin di ubat semakin diserang
Petanda apa ini?
aduhai sudah tak tertanggung
perasaan menyeksa ini

kasihan pada saya

Saturday, March 31, 2012

Bicara tengah malam

Aku mahu menabur benih bakti kepada mereka luar sana. Makanya aku bertekad untuk penuhkan dada dengan ilmu. Semakin aku mendaki, semakin tercengkam setiap helaan nafas. Aku jadi lelah dan sesak. Jadi letih pada perjuangan yang pada dasarnya belumlah apa-apa. Setiap langkah menjadi semakin berat. Hingga ada kalanya aku ingin berhenti saja di tengah perjalanan dan bermastautin di situ. Ya, aku juga jadi penat melawan amuk perasaan sendiri. Sudahnya, aku bertatih mendaki gunung ini. Moganya aku lebih melihat perjalanan kerana aku punya banyak masa menelaah keadaan sekeliling. 

Friday, March 30, 2012

Permohonan hati

In the name of Allah, the Most Gracious, Most Merciful

Engkau pemegang hati,
Aku mohon kepadaMu,
Rawatlah hatiku,
Dari penyakit manusia hina,
Yang melegamkan ruh-ruh jiwa.

Engkau pemegang hati,
Aku pinta kepadaMu,
rendahkan hatiku,
Hingga tunduk cium sujudMu
Kerna dongakku merapuh jiwa lesu.




Thursday, March 29, 2012

sepotong ayat

Aku sedang mencari seorang lelaki yang mampu menutur kan sepotong ayat ini

'Aku terima nikahnya...'


Mungkinkah akan ku temu dalam kembara hidup ini?

Atau kembara di alam sana?

Saturday, March 10, 2012

A letter



Kalau kamu tidak cintakan dia, kalau kamu hanya berniat untuk main-mainkan dia, berhentilah. Pergilah dari mata kami. Kami tidak mampu menahan kesedihan melihat dia sebegitu. Kami tidak mampu lagi hanya memandang tanpa kami tahu bagaimana harus kami usir duka pilu. Kamu lelaki, tidak tahu. Sekuat mana seorang wanita itu kamu sakiti, dia punya sisi rapuh yang dia cuba selindungkan dari mata kami. Kamu tahu kaum hawa itu lemah. Tapi bagaimana tegarnya kamu mengotori dia dengan selut lumpur kota yang kamu harungi? Kamu mahu heret dia bersama, lemas dalam lumpur kotor dunia? Di mana akal kamu wahai lelaki? Padahal dia memerlukan kamu untuk melindungi dia, menjaga dia. Tapi, apa yang telah kamu lakukan?

Aduhai kamu, kamu langsung tidak mengerti keperitan kami malah bergembira dengan menabur fitnah sana sini demi menutup kesalahan sendiri. Kamu manusia tidak tahu malu! Manusia tidak berakal! Tidak, kamu itu tidak manusia! Ya, kamu yang selain manusia! Semoga Tuhan menghukum kamu pada tiap2 duka yang kamu cipta pada tiap2 manusia.

Thursday, February 23, 2012

Yang lemah

In the name of Allah, Most Gracious, Most Merciful

Tadi, aku baru menjenguk page facebook `Ex-Muslim` dan seangkatan lagi. Aku baca satu persatu. Pada setiap persoalan dan penyataan yang keluar, ada rasa bertingkah dalam hati. Sakit hati, geram dan kecewa. Tapi, aku hanya mampu membaca. Aku tidak mampu membalas kata-kata berbaur penghinaan mereka. Aku tidak menegakkan agama aku! Mana aku ketika itu? Mana Islam yang aku bawa sepanjang hidup ini? Mana pegangan aku? Mana kekuatan iman aku? Mana ilmu aku?

Akhirnya, aku kesini mempersoalkan kredibiliti aku sebagai seorang muslim. Dalam aku kecewa dengan mereka, aku lebih kecewa dengan diri sendiri. Mereka berani mempersoalkan itu dan ini. Tapi dalam beratus ribu umat Islam di Malaysia, hanya satu dua orang yang berani membidas. Aku hanya bersembunyi di ruang gelap.

Aku Islam yang lemah iman, lemah daya tahan jiwa. Aku Islam yang tidak berani menegakkan agamanya sendiri.  

 

Sunday, February 19, 2012

Mungkin kamu tidak menyukai sesuatu

In the name of Allah, Most Gracious, Most Merciful

`Mungkin kamu tidak menyukai sesuatu padahal itulah yang lebih baik bagi kamu`

Itu yang aku kira-kirakan setelah aku menamatkan latihan praktikal dua hari yang lalu. Sekejap sajakan, masa berlalu. Aku masih ingat lagi, betapa runtunnya perasaan setiap kali memikirkan terpaksa menjalani praktikal ini. Betapa rusuhnya fikiran. Aku ingat lagi, hari pertama aku tercengang-cengang sambil berdiri di sudut kedai memerhati. Kemudian, aku pulang ke rumah dengan jiwa yang kacau. Masa itu, aku ingin cepatkan saja waktu.

Aku mula bertatih. Sedikit demi sedikit aku mula mencari rentak. Bekerja dengan bukan serumpun agak sukar bagiku. Dimarahi dan tidak senangi itu, perkara biasa pada mulanya. Aku mencuba keraskan hati. Mungkin, aku banyak bertanya itu dan ini sehingga menjengkelkan mereka. Aku faham, dan aku terima. Tapi, aku bersyukur dalam keadaan itu. Aku jadi cepat belajar, berdikari sendiri. 

Seminggu, dua minggu berlalu. Alhamdulillah, Allah SWT perkenan doaku. Dia permudahkan urusanku. Aku semakin biasa berdiri dan berjalan sana sini dari pukul 8 pagi hingga pukul 5 petang. Aku semakin biasa dengan situasi tegang, pada saat pelanggan memenuhi ruang kedai. Dan, rakan sekerjaku sudah mula menerima kehadiranku.

Aku belajar erti kehidupan di sini. Mentafsir riak wajah manusia bila aku nyatakan harga ubat-ubatan yang mereka inginkan. Ada yang menerima, ada yang berubah pilu. Hati aku sedikit pedih. Aku tahu, bukan semua yang berkemampuan. Pada saat seorang tua dan anak gadis dia aku layani, aku ternampak riak sedih si ayah bila aku nyatakan harga. Tetapi, dia tetap membeli ubat-ubatan itu demi anaknya. Berhari-hari aku memikirkannya.Sehingga hari ini aku takkan pernah lupakan riak si ayah. Aku tahu, itu pesanan dari Tuhan ku. Pada saat aku bersungut betapa penatnya aku menjalani latihan praktikal ini, ada insan lain yang lebih penat dan lelah demi mencari sesuap nasi. Ya, aku tahu itu.

Aku juga belajar tentang kerenah manusia. Ada ketika aku ketawa mengenangkannya. Kisah seorang pelanggan yang ingin membeli ubat untuk ayam dia yang selesema. Mulanya, aku kurang yakin dengan apa yang aku dengar. Mungkin dia ingin nyatakan, bahawa, dia terkena chicken pox. Berkali-kali aku bertanya kembali. Rupanya, dia memang ingin membeli ubat untuk ayamnya yang selesema. Kami benar-benar kehairahan, tentang pemahamannya dengan ayam peliharaannya itu :) Sampai hari ini aku pasti tersenyum bila mengenangkannya. 

Aku semakin rapat dengan rakan sekerjaku. Biarpun berlainan bangsa, kami saling menghormati. Aku tahu, aku perlu membuang skeptikal ku sebelum ini bahawa bangsa ini sangat racist. Mungkin segelintir sahaja, tetapi tidak semua. Ya, dengan mereka aku belajar satu lagi bab baru dalam hidupku. Mereka menjadi sebahagian dari cerita penting yang tidak mungkin aku lupakan sampai bila-bila.

Permulaan yang pahit tidak semestinya berakhir dengan pahit juga. Kadang-kadang lebih manis ldari gula.Mungkin kamu tidak menyukai sesuatu , padahal ia lebih baik bagi kamu .Ya, aku mula memahami sepotong ayat Al-Quran ini dan semuanya benar belaka. :)

Sunday, January 22, 2012

Catatan masa lalu

In the name of Allah, Most gracious, Most Merciful


21/01/2012
Alhamdulillah. Hari ini permulaan yang baik. Syukur. Walaupun masih lagi berkelana seorang diri di tengah Kuala Lumpur ini, aku amat bersyukur. Sangat. Bukanlah kiranya aku suka bersorangan tetapi inilah masa terbaik untuk aku muhasabah diri. Mengenal betapa lemahnya seorang manusia yang tidak punya apa-apa. Bila mana tiada sesiapa yang boleh digantung harap dan aku hanya memberikan sepenuh pengharapan hanya kepada-Nya dalam setiap langkah mengukur jalan di sini. Aku belajar untuk jadi kuat dan menerima apa sahaja keadaan. Moga-moga apa yang aku peroleh ini mampu untuk buat bekalan ketika latihan praktikal nanti. Sungguh, aku memerlukan kekuatan yang jitu dan semangat yang tinggi untuk menjalani latihan praktikal ini. Ya, mungkin ini hikmahnya aku bersendirian di sini.
Semalam, aku berseorangan menjelajah KL Central. Walau hanya sekadar KL central, banyak ragam yang aku perhatikan. Sedang aku menikmati makan tengah hari, aku lihat sepasang kekasih yang duduk di sudut food court. Rancak bercerita. Si lelaki meletakkan tangannya di sekeliling kerusi yang disandar oleh si perempuan. Aku fikir, masih tidak bersentuhan tetapi sudah sangant rapat. Gurau senda gelak tawa berterusan. Kemudian, aku lihat si lelaki itu menggeletek pinggang si perempuan. Si perempuan pula seperti rela sahaja. Oh, aku tidakkan ambil kisah kedua-duanya jika pasangan tersebut tidak mempamerkan imej seorang Islam tetapi telah nyata dan terang si perempuan memakai tudung.
Entahlah. Anak Adam senang terpesong. Lebih-lebih lagi umat akhir zaman. Senang tergoda dengan keseronokan dunia. Aku bukanlah seorang Maryam yang selayaknya berbicara hal keagamaan mereka kerana aku juga selalu terpesong dari fitrah manusia Islam. Tetapi, aku tetap sedih memikirkan betapa lemahnya iman kita. Bagaimana mahu kita bentuk peribadi anak-anak kita, cucu-cucu kita andai kita sendiri hanyut? Moga-moga Allah ampuni kita dan sinari hati kita dengan nur-Nya. Dan moga beroleh syurga di akhir perjalanan mencari Dia. Ameen.

Thursday, January 19, 2012

Saat bila sendiri

In the name of Allah, the most Gracious, Most Merciful

Cuti semester baru bermula. 2 hari lepas. Flight hari Ahad. Ada lima hari sebelum berjumpa bonda dan ayahanda. Dan, ada 8 hari sebelum memulakan latihan retail pharmacy. Rumah sewa jadi kosong, tak berpenghuni saat ini. Teman-teman sepejuangan telah kembali ke rumah masing-masing. Hanya ditemani sebuah laptop dan sebuah TV. Nasib baik. Tak lah terlalu sunyi. Dalam ketenangan yang ingin saya tunjukkan di sini, saya sebenarnya seorang yang penakut. Saya ajak seorang teman untuk menemani saya malam ini. Kasihan pada dia, demam dan batuk. Terima kasih, pada awak yang sudi menemani seorang penakut seperti saya.

Sebelum kedatangan teman saya itu, TV saya buka dengan volume yang agak kuat. Lampu rumah dipasang sebanyaknya. Baru terasa rumah ini `berisi` sedikit. Kurang perasaan takut yang mengacau hati. Ya, saya seorang penakut. Penakut kepada sendirian. Penakut kepada sunyi, penakut kepada sepi. Saya takut bersendirian di dunia. Saat itu baru saya tahu, bukan mudah untuk menjadi yatimpiatu, tanpa saudara dan hanya berharap pada diri sendiri untuk meneruskan kelangsungan hidup. Padahal saya baru beberapa jam berseorangan, saya sudah jadi sedih dan cengeng. Betapa lemahnya jiwa manusia saya. Betapa tidak kuat semangat juang saya. Sehingga saya terlupa saya tidak sendirian di sini. Allah ada. Allah di sisi. 

Pada saat saya menaip entri ini, hati saya masih lagi rawan. Namun, saya tahu Allah ingin memberi peringatan pada saya. Bahawa hidup saya pada suatu ketika nanti akan bersendiri juga. Insan yang disayangi akan berlalu pergi. Saya tahu itu. Moga hati saya cepat terubat dengan muhasabah diri. Awak bukanlah orang yang malang yang tiada sesiapa ambil peduli. Ramai lagi yang sendiri tanpa sesiapa menemani. Tapi hati mereka penuh kekuatan mencari Tuhan yang Suci. Siapa awak yang lemah dan hina ini??

Wednesday, January 18, 2012

Sekarang aku tahu

Sekarang aku tahu
hati sedih tanpa airmata benar
hati sedih berlagu tangis itu juga benar

Bukan hanya mainan kata
tapi lahir dari kusut jiwa
bila mata kering tak bergenang duka

Hati berlagu pilu tiada suara
bukan lidah enggan berbicara
bukan mata tak ingin melahirkan airmata
Tapi, cukuplah hanya pada Dia aku mengadu derita

Sunday, January 15, 2012

Aduhai manusia

In the name of Allah, Most Gracious, Most Merciful

Aduhai manusia

Jangan engkau pijak kebaikan yang diberi

Diamnya aku bukan bermakna setuju

Diam juga bukan bermakna Ya

Diam itu kadang mengelak sengketa

Maka,

Satu saja yang aku pinta

Jadilah Manusia yang bertimbang rasa.

Saturday, January 14, 2012

Aku ingin ke Cordoba


In the name of Allah, Most Gracious, Most Merciful

Aku ingin ke sana. Pusat perkembangan ilmuwan Islam. Cordoba, Sepanyol.


Mimpi 
pada malam saat katup mata lena
Pada tubir mata ada cahaya
Pada muka gerimis menimpa
Pada kaki langit pelangi berwarna

Hati 
Tertanya-tanya
Apa benar ini dunia
Mengapa begitu indah berupa
Kalau benar mana masanya
Kerna ku lihat figura semata.

Mata
Tercelik seketika
Menadah langit bilik
Ah! Mimpi rupanya.
Dunia hanya begini.



Friday, January 13, 2012

Antara Malam

In the name of Allah, Most Gracious, Most Merciful

Aku kira, yang menjadikan kita lebih kenal diri ialah bila kita belajar tentang alam. Tempat mengira hayunan kaki yang menciptakan kenangan. Kenangan yang menjadi pengalaman. Pengalaman yang memberi pengajaran. Cuma yang membezakan seseorang itu ialah cara dia mentafsir alam. Samaada alam itu menyiksa atau memberi makna. Ya, memang bukan tiap-tiap kayuhan kaki itu membuahkan yang manis-manis saja. Pahit, masam, masin juga. Kan namanya hidup itu mencorakkan kehidupan. Apa, coraknya akan bosan kalau cuma warnanya manis saja kan? 

Kalau mahu kenal alam, berjalanlah serata alam. Ya, aku sebenarnya cemburu melihat teman-teman yang mengembara alam di negara orang. Mereka lebih kenal diri. Lebih memaknakan kehidupan. Lebih mencari erti berTuhan. Bukanlah kiranya aku tidak kenal diri. Cuma, kembara ke negara orang sebenarnya akan lebih memberi satu rasa yang bilamana erti syukur itu lebih dekat. Ya, fitrah manusia kan begitu. Yang dimiliki tidak di ingini tapi akan meraba tercari-cari saat tidak ketemu lagi. Aku pun begitu. Dah namanya aku ini manusia.

Dulu aku marah tercampak ke sini. Aku sedih, kecewa dan putus harap pada takdir. Tidak terlintas di fikiran mungkin ada hikmah disetiap perancangan Tuhan. Yang aku tahu, aku tidak gembira. Ingin saja aku cepatkan waktu agar aku boleh tamatkan pengajian secepat mungkin. Seiring perjalanan waktu, aku mula belajar menerima alam tempat berteduh ini. Ya, manusia itu kadang-kadang perlu dijatuhkan hingga menyembah tanah untuk kembali tunduk. Hukuman Tuhan, pada aku yang hampir lupa pada-Nya. Tapi, aku belajar untuk bersyukur, belajar merendah diri dan belajar menghambakan diri pada-Nya. Ya, aku bersyukur sekarang. Moga-moga Tuhan kekalkan dalam hati ini rasa syukur, rasa hina, rasa tidak berdaya dari-Nya.

Ya, alam terkembang dijadikan guru. -Petikan dari TepianMuara

Assalamualaikum


Tangga Hikmah. Hah.




 



Tuesday, January 10, 2012

Misi Mencari Tuhan

In the name of Allah, Most Gracious, Most Merciful

`Hati tu, bukan manusia yang pegang. Tapi Allah yang pegang.` - Hlovate. Ayat ni sampai sekarang aku ingat. Cukup terkesan. Mendalam sekali. Mungkin jiwa seni aku yang mempengaruhi juga sedikit sebanyak. Mungkin juga ayat ni berkait-sambung dengan hati aku sendiri. Hati aku rapuh, tak teguh. Aku sebelumnya, terumbang-ambing dalam menjadi seorang insan yang kamil.Ah, bukan saja sebelumnya, bahkan kini mungkin. 

Zahirnya, aku mengaku Allah itu Tuhan ku yang satu. Nabi Muhammad SAW itu pemimpin ku. AlQuran itu panduan hidupku. Tapi, ada yang hilang disebalik kepercayaan ku itu. RASA. Ya, rasa dalam hati. Rasa yang menjadi satu pemangkin kepada aku untuk mencari lebih daripada kepercayaan yang aku pegang selama ini. Makna Allah SWT, Rasulullah, AlQuran, dan ISLAM dalam hidup ku. 

Sampai suatu ketika, aku dalam kesempitan dan tiada tempat untuk aku mengadu dan melepasakan beban, hati ni menyebut-nyebut nama-nama muliaNYA. Padahal, dalam senang, aku melupakanNYA. Betapa khilafnya aku! Ketika itu, Allah hantarkan seseorang yang tidak aku kenali kepadaku. Seolah-olah petanda bahawa DIA sentiasa bersamaku, aku tidak berseorangan dalam kesempitan ini. Bukan sekali, bahkan berkali-kali aku diberikan kemudahan! Hati jadi hiba bila mengenangkan betapa ARRAHIM nya Tuhan ku yang satu. Tuhan yang aku hanya ingat ketika berduka. Yang jarang diingat ketika gembira. 

Ketika itu, aku tahu, hati aku jauh, tidak bercahaya, kelam. Kotor juga barangkali. Hati yang telah 21 tahun di jalani ini, aku tidak tahu bagaimana harus meledani hati ini agar kembali kepadaNYA dalam keadaan bersih dan suci. Maka aku sedang menjalani satu misi ini. Misi yang barangkali tiada penghujungnya. Misi aku dalam mencari Tuhan ku yang satu. Doakan aku menemui Penciptaku, Pencipta kalian dan seluruh isi alam dengan sebenar-benar hamba.

Assalamualaikum